Tuesday, April 6, 2010

JANJI BN : Sekolah Baru!!

Sekolah baru: Kera di hutan disusukan...
Apr 3, 10 10:02am

Pengumuman projek politik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan empat sekolah baru bagi Hulu Selangor, RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa di Batang Kali serta meluluskan permohonan RM100,000 bagi Masjid Al-Sajdin di kampung yang sama, semalam mendatangkan padah.


Beliau dibidas oleh pelbagai pihak termasuk rakyat yang beranggapan BN cuba menggula-gulakan masyarakat di Hulu Selangor.

PAS dalam satu kenyataan berkata sebagai timbalan perdana menteri dan bukannya menteri kewangan, Muhyiddin berkuasa dengan sewenang-wenangnya mencurahkan peruntukan itu tanpa merrujuk kepada kementerian bertanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.

Menurut beliau, dalam kesibukan BN cuba menjadi juara memperjuangkan masalah rakyat di Hulu Selangor, Muhyiddin telah dimalukan dengan pendedahan laporan dari Bernama.

Laporan itu memaparkan kisah empat guru di sekolah rendah Long Latin, Ulu Baram, Sarawak, termasuk sepasang guru suami isteri yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit yang daif sejak tiga tahun lalu.

Laporan Be
rnama itu disiarkan oleh beberapa media arus perdana hari ini.

“Lebih menyedihkan lagi, bilik kediaman guru-guru yang cekal ini adalah di bawah bilik darjah tempat mereka mengajar. Tidak dapat dibayangkan penderitaan yang mereka alami lantaran layanan 'double standard' menteri pelajaran yang lebih ghairah mengumumkan projek-projek meganya di Hulu Selangor.

“Jika dibandingkan dengan rumah sebahagian guru-guru yang mengajar dan tinggal di Putrajaya, saiz 20 x 10 kaki itu, bersamaan dengan ruang tempat letak kereta di rumah mereka sahaja. Memang mewah guru di Putrajaya kerana kerajaan begitu menjaga imej sekolah di Putrajaya berbanding Ulu Baram,” katanya.


Menurut Idris, pendedahan itu amat memalukan kerana guru-guru berkenaan mengajar di kawasan parlimen BN, yang diwakili oleh Datuk Jacob Dungau Sagan (kiri) yang juga adalah timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

“Apakah Muhyiddin mahu tunggu sampai ahli parlimen Baram ini meninggal dunia baru hendak umumkan peruntukan bagi pembinaan rumah baru bagi guru-guru malang ini? Sewajar sebagai ahli parlimen bertaraf timbalan menteri, kawasan Jacob mendapat peruntukan yang lebih baik sekarang,” katanya.


Idris (kanan) berkata PAS melihat, pendedahan Bernama ini hanyalah sebahagian kecil daripada kudis-kudis yang ada dalam pengurusan menteri pelajaran dan kerajaan BN.

Justeru, beliau berharap rakyat, khususnya di Hulu Selangor tidak tertipu dengan taktik projek politik itu kerana BN akan menabur sebanyak mana janji dan peruntukan yang mampu semata-mata untuk merampas semula kerusi Hulu Selangor.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya, semalam mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April, manakala penamaan calon pula ialah pada 17 April.

MAFREL: Nafi ia alat Pembangkang

Mafrel nafi ia alat pembangkang
Nigel Aw
Apr 6, 10
6:25pm

Badan pemantau pilihan raya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel) menafikan dakwaan timbalan pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar yang melabelkan NGO itu sebagai alat pembangkang kerana didakwa tidak bersikap bebas dalam menyatakan pandangannya.


Ia berikutan laporan dalam Sinar Harian di mana Mafrel mendakwa Barisan Nasional melanggar undang-undang pilihan raya.

Presiden Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata ulasannya merujuk kepada BN kerana seorang wartawan secara khusus menyoalnya berhubung lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, empat hari lalu.

"Seorang wartawan meminta saya mengulas kenyataan timbalan perdana menteri yang menjanjikan empat sekolah baru ketika melawat Hulu Selangor,” katanya.

Menurut Syed Ibrahim pengedaran kebajikan yang dijanjikan itu mungkin dapat diterima sebagai sebahagian daripada tugas wakil rakyat tetapi mengkiaskan siapa yang patut diundi sebelum tempoh berkempen adalah salah.

“Pemerhatian kami adalah berdasarkan kenyataan yang dibuat kepada media oleh kedua-dua pihak. Meskipun kedua-dua pihak ada menawarkan bantuan kebajikan, namun BN membuat kiasan yang rakyat seharusnya mengundi mereka,” katanya.


Muhyiddin pada 2 April lalu mengumumkan bahawa Hulu Selangor akan mendapat empat sekolah baru, dan projek pembinaan banjir bernilai RM2 juta ringgit.

Belaiu juga dilaporkan berkata kementerian pendidikan sedang mengenalpasti tapak sesuai untuk membina sebuah sekolah aliran Cina.

Sehari kemudian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula mengumumkan projek perumahan baru untuk warga Felda di Gugusan Sungai Dusun.

Projek bernilai RM32 juta ringgit ini membabitkan 2,50 unit, setiap satunya bernilai antara RM42,000 dan RM75,000 ringgit.

BN: 'MIC ya, Palanivel Tidak'

Akar umbi: 'MIC ya, Palanivel tidak'
Abdul Rahim Sabri
Apr 6, 10
2:13pm

Walaupun berat hati, ahli akar umbi Umno bersetuju untuk mempertimbangkan supaya MIC dibenarkan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, tetapi mereka menolak timbalan presidennya Datuk G Palanivel.

Seorang pemimpin Umno cawangan di parlimen tersebut berkata, Palanivel ditolak ekoran "tidak menunaikan janji dan (rakyat) sudah hilang kepercayaan kepadanya".


"Bagi saya ia (perebutan kerusi) bukan masalah kuota, tetapi masalah calon. Banyak janji-janji (pilihan raya), beliau tidak tunaikan.

"Selama empat penggal beliau bertanding, kenapa dia kalah (pada 2008)? Ini kerana undi protes.

"Sekurang-kurangnya, kalau (letak) calon dari MIC, carikan orang lain. Kalau MIC letak Datuk G Palanivel, berat sedikit nak menang. Orang sudah hilang kepercayaan kepadanya," kata seorang lagi pemimpin Umno daripada DUN Batang Kali.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, pemimpin berkenaan berkata, sekiranya BN tetap mahu memilih calon daripada MIC, mereka mesti mengenetepikan Palanivel.

"Selain Palanivel, masih ada harapan," kata seorang pemimpin Umno cawangan di DUN Batang Kali.

Manakala seorang lagi pemimpin akar Umbi Umno daripada DUN yang sama memberitahu, bantahan terhadap Palanivel turut disuarakan semua 130 pemimpin kanan cawangan kepada ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pada pagi Ahad lalu.

Sementera di sebelah malamnya, difahamkan, Ahmad turut mengadakan pertemuan dengan kira-kira 70 pemimpin Pemuda dalam DUN Batang Kali dan mendapat reaksi lebih "serius dan keras".

Sumber-sumber bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut sajauh mana kerasnya desakan itu atau mendedahkan butiran lanjut mesyuarat.


Menurut sumber lagi, tuntutan merekaturut mengambil kira suara pengundi Cina yang mahukan pucuk pimpinan parti menyerahkan semula kerusi tersebut kepada Umno.

"Kita bantah seratus peratus. (Palanivel) banyak berjanji, tapi tak banyak ditunaikan," katanya senada dengan pemimpin akar umbi yang lain.

Ditanya apakah janji-janji Palanivel yang tidak ditunaikan, sumber tidak tidak menjawab secara langsung, tetapi menjawab sinis:

"Minta bola sepuluh biji, yang sampai hanya sebiji."

Malah, pemimpin tersebut bukan sahaja menolak Palanivel, tetapi masih berkeras mahukan Umno bertanding di kerusi parlimen itu.

Sumber menambah, sejak 2008 lagi, kira-kira 90 peratus cawangan telah menolak MIC bertanding lagi di kawasan parlimen tersebut.

Sementara seorang lagi pemimpin Umno cawangan mendakwa Palanivel tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan tidak mempunyai "sentuhan langsung" dengan rakyat.

Pada pilihan raya umum yang lalu, calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengalahkan Palanivel yang mewakili BN dengan hanya kelebihan 198 undi.

Bagaimanapun jumlah undi rosak yang dicatatkan adalah 1466 iaitu tujuh kali ganda daripada majoriti Zainal.

BN Berusaha Rampas Selangor:Malaysiakini

BN berusaha gempur Selangor
Abdul Rahim Sabri
Apr 7, 10
11:08am

Usaha merampas Selangor dari Pakatan Rakyat bermula dengan konvensyen Barisan Nasional di Shah Alam, hari ini.

"BN mesti kena menang (di Hulu Selangor)) kalau tidak menang, kita tidak boleh ambil Selangor selepas pilihan raya umum ke-13.

"Kita perlu meneruskan perjuangan kita terutama di Hulu Selangor. Ia bukan satu pekerjaan yang mudah kerana kita berhadapan dengan kerajaan negeri. Mereka akan menggunakan segala kemudahan," katanya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.


Berucap di Konvensyen BN di Shah Alam, beliau memulakan serangan dengan mengulangi pelbagai skandal dan kontroversi yang menggoncang Pakatan.

Bermula dengan skandal seks Elizabeth Wong kepada kenyataan MB Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa mereka tidak memerlukan Model Ekonomi Baru, semua 1,500 hadirin terpukau dengan strategi baru itu.

"Isu Elizabeth Wong, dia nak letak jawatan, tetapi Ketua Muslimat PAS yang pakai tudung mempertahankannya. Orang nak telanjang, dipertahankan, tapi kita tak ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menegur dan mengingatkan akar umbi BN yang tidak mengambil kesempatan terhadap isu-isu yang timbul sepanjang 2009.

Noh yang juga menteri pertanian dan indusri asas tani juga menjelaskan bahawa setiap bulan tahun itu, pelbagai isu telah timbul di Selangor.

Antara isu-isu yang berlaku sepanjang tahun tersebut, katanya, termasuk kematian Teoh Beng Hock, isu pembelian kereta Camry, penubuhan Selcat dan perbezaan pandangan antara exco Selangor Ronnie Liu dan pemimpin PAS berhubung isu arak.

Bagaimanapun, fokus majlis ini adalah bagi mendapatkan sokongan berhubung pilihan raya kecil Hulu Selangor pada hujung bulan ini. Ini khususnya, kini parti-parti komponen dilaporkan cuba melobi kerusi berkenaan.

Secara tradisinya, Hulu Selangor diserahkan kepada MIC tetapi baru-baru ini akar umbi Umno dilaporkan tidak berpuas hati dan mahukan kerusi berkenaan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN dijadualkan menyampaikan ucapanya petang ini dengan tema “BN mampu berubah: Cintai Selangor, Yakin BN'. Hadir pada majlis ini adalah naib presiden MCA, Datuk Donald Lim dan presiden PPP, Datuk M Kayveas.

Sementara itu, Pengerusi Konvensyen BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata parti komponen BN di Selangor harus bergerak sebagai satu gerakan dalam usaha merampas semula kuasa dari Pakatan Rakyat.

"Kita perlu berusaha untuk menggerak dan mengubah persepsi rakyat agar meyakini BN. Kita mesti ada usaha dan ia bukan satu lampu ajaib. Kita tidak boleh bergantung dengan sentimen untuk berkuasa di Selangor.

'Kita mesti berusaha untuk mengubah persepsi (rakyat) dari segi pengurusan dan kepimpinan. Tingkah laku kita juga akan dinilai dan diteliti supaya mereka yakin kepada kita," katanya.

Dalam ucapannya beliau turut menggariskan enam punca kekalahan BN di Selangor pada piliha raya umum 2008 yang disifatkkannya "seolah-olah menyanggah realiti".

"Pertama, prinsip muafakat mula bertukar menjadi konflik yang membawa mudarat. Kedua, usaha menjuarai isu rakyat beralih haluan kepada tindakan memperjuangkan kaum kerabat. Ketiga pergolakkan dalaman lebih ditumpukan berbanding usaha membina kekuatan.

"Keempat, khidmat dan pendekatan lebih bercorak eksklusif bukan lagi inklusif. Kelima BN agak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat. Penyebab terakhir, aspirasi pengundi muda kurang difahami," katanya.